Just A Story



Warkah Jiwa 1.
Friday, October 9, 2020 | 7:59 PM | 0 Words

 9 Oktober 2020.


Aku menulis dalam kesepian, cuba mencari secangkir iman. 

Di setiap sudut penjuru aku meniti satu persatu, apa mungkin suatu hari nanti ada sinar baharu?

Aku cuba mempamerkan kuatnya hati, besarnya jiwa, manisnya senyuman lara. Namun, aku manusia. Kadangkala, aku juga bisa tumpas dan tertunduk hina. Di mata keluarga juga di mata dunia. Bertahun bertahan dalam kesukaran, apa mungkin aku akan kembali bangkit membalut luka yang sudah menjadi parut dan terus bernafas dalam penasaran? Tiada siapa yang mahu menjadi aku sedangkan aku juga tidak mahu menjadi aku. Doa aku yang sering meniti di bibir tatkala aku bersujud mengadu segala kesedihan, kelukaan aku moga Allah SWT mencabut nyawa aku sekiranya aku ini hanyalah seorang anak, seorang insan yang memberi duka lebih dari suka dan seorang anak yang hanya menjadi beban kepada kedua orang tuaku. 

Di usia ini, aku sewajarnya melewati zaman remaja aku. Tapi, semuanya telah dirampas terlebih awal. Tidak sekalipun aku mengungkit, tidak sekalipun aku sesali apa yang terjadi kerna tuhan lebih mengetahui. Di usia 18 tahun, aku sudah membawa diri jauh di perantauan kerana tidak mahu dianggap sebagai biawak hidup atau membiarkan mereka menggalas beban. Bayangkan seorang remaja yang tidak pernah keluar untuk melihat dunia akhirnya membawa diri yang terluka. Aku bersyukur, kerana itu telah mematangkan aku. 

Di usia remaja seperti aku seharusnya berhibur bersama rakan dan teman, tetapi aku bertarung perasaan. Hidup aku diabadikan hanya untuk menjadi dewasa dan mengejar kerjaya. Aku mengejar kejayaan hanya untuk membanggakan kedua orang tuaku yang kadangkala hanya disambut sehari sahaja. Keesokannya, aku perlu bernafas dalam ruang sempit yang sama. Dadaku sempit, diasak kecelaruan dan kekeliruan apa kurangnya aku. Di usia aku masih mencari identiti diri, aku bertarung dengan diri sendiri. Sehingga ke hari ini, aku masih bertarung. Bertarung untuk hidup esoknya. Cukuplah jika sekadar esok. Di saat rakan-rakan mencipta nama dan jenama, aku masih mencari sekelumit kekuatan untuk tetap berada di atas 'track'. Berkali tersasar, tapi aku gigihkan jua diri agar aku terus berada di jalan yang betul. Jalan hidup aku bersimpang siur. Tatkala manusia lain peroleh segalanya lancar dan mudah, aku di hujung simpang yang bercabang dan berliku. 

Aku tidak mahu menagih simpati. Air mata juga sudah kering sendiri. Hati juga sudah hancur beribu kali. Jiwa juga sudah diselimuti sepi. 

Aku menyakiti diri aku sendiri dengan jadikan semuanya jenaka, tertawakan kebodohan aku, bergelak ketawa menghina diri sendiri supaya aku lupa dan tak terkesan dengan luka-luka lama lagi. Tapi, kadangkala jenaka itu turut membuatkan aku tumpas sekali lagi. Dalam diam. Dalam kepekatan malam.

Saat dunia menghukum aku, aku terduduk menghukum diri sekali lagi. Bila tiba fasa-fasa aku celaru, otak dan fikiran aku berperanan seperti watak antagonis yang cuba mengganggu kewarasan akal aku. Aku pernah menyalahkan tuhan, tapi Dia tak pernah salahkan aku. Aku pendosa, dan masih pendosa. Kerana aku cuma manusia biasa yang terlalu terluka. Aku pernah 'hilang' diri aku, dan kini perasaan yang sama menjengah kembali. 

Fasa-fasa yang menyakitkan jiwa, 'Am I not good enough?', 'Why do I have to live like this?', 'Why is it hard for me to accept myself? to forgive myself for being me?', 'Why I have to hurt people around me?, 'Why do I so fucking ugly?' and those 'Whys' keeps torturing me. 

Itulah permulaan self-isolation. Aku buang semua orang yang aku rasa tak perlukan aku dan aku tak perlukan mereka. Aku tak minta banyak, doakan aku sembuh. Sembuh dari kelukaan ini. Ianya terlalu dalam sampai sukar untuk aku ungkapkan dalam perkataan. Jadi, aku memilih untuk menulis. 


-Past-